Perbezaan Air Mineral (Mineral Water) & Air Minuman (Drinking Water)

Perbezaan Air Mineral & Air Minuman


1. Tidak ramai yang sedar bahawa air mineral di pasaran bukannya semua daripada air mineral semula jadi. Terlebih dahulu kita perlu lihat definisi air mineral dan air minuman berdasarkan "Garis Panduan Permohonan Pelesenan Punca Air Minuman Berbungkus & Air Mineral Semulajadi" yang dikeluarkan oleh KKM.

2. Air mineral semulajadi, AMS (Mineral Water) ditakrifkan sebagai air bawah tanah yang diperolehi untuk makanan manusia daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, telaga, gerekan atau lain-lain jalan keluar dengan atau tanpa tambahan karbon dioksida.

3. Air minuman berbungkus, AMB (Drinking Water) pula ditakrifkan sebagai air minuman yang diperlakukan dan mematuhi Jadual Ke-25 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 selain daripada air mineral semulajadi yang berkedap dalam botol atau lain-lain bungkusan dan dicadangkan untuk makanan manusia.

4. Perbezaan paling mudah adalah melalui warna penutup botol. AMS boleh menggunakan sebarang warna kecuali putih. Manakala AMB hanya boleh menggunakan warna putih. Selain itu perbezaan juga boleh dilihat pada label produk.

5. Daripada segi rawatan, AMS melibatkan proses nyahkuman (disinfection) melalui beberapa kaedah sama ada Ozonation atau UV Light. Bakteria merbahaya yang boleh menyebabkan AGE (Acute Gastro Enteritis, AGE) seperti E. coli boleh dihindari. Proses lain juga boleh dilaksanakan dengan syarat kandungan nutrien semulajadi di dalam air dikekalkan.

6. Rawatan AMB pula melibatkan proses penapisan seperti Reverse Osmosis kerana kebiasaannya sumber air tersebut diperoleh daripada loji rawatan air yang telah pun melalui beberapa proses rawatan seperti screening, aeration, coagulation, flocculation, sedimentation, filteration dan disinfection. Proses lain juga boleh dilaksanakan dengan syarat tidak melanggar Piawai Mutu Air Minum Kebangsaan.

7. Untuk maklumat lanjut seperti pelabelan dan pembungkusan boleh dilihat di myhealth.gov.my

Comments

  1. Warna Penutup Botol Air Minuman
    http://lemangpanas90.blogspot.my/2015/11/warna-penutup-botol-air-minuman.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts